Amran Ismail Bakal Dikenakan Tindakan Jika Plagiat
KUALA LUMPUR, 23 JAN 2013: Rentetan lagu nyanyian penyanyi baru, Amran Ismail berjudul Ini Janjiku yang didakwa mempunyai persamaan dengan lagu nyanyian kumpulan SM*SH iaitu I Heart U, syarikat rakaman Warner Music Malaysia telah mengambil keputusan untuk tampil ke depan untuk menjelaskan kemungkinan yang bakal berlaku terhadap pelakon yang kini bergelar penyanyi, Amran Ismail.
Malah, Ketua Bahagian A&R, Mokhtaza Ahmad menjelaskan berkemungkinan besar penyanyi baru itu bakal dikenakan tindakan seandainya dia disabitkan kesalahan.
"Saya sendiri sudah mendengarnya sebaik saja saya dimaklumkan akan hal ini. Bagaimanapun, saya belum menelaah dengan lebih teliti lagi. Namun dari segi bar dan melodi lagu, ternyata ia banyak sekali persamaannya.
"Kalau nak dikatakan dia ciplak, peratus ke arah itu memang amat positif dan tinggi. Saya difahamkan, Amran telah mendakwa dia tidak pernah mendengar pun lagu SM*SH. Apapun, lagu SM*SH itu adalah hasil kerjasama kami dengan syarikat dari Indonesia.Oleh itu, saya harus laporkan perkara ini kepada mereka," katanya kepada murai.com.my, petang semalam.
Meneruskan penjelasan, pihak Warner Music yakin bahawa kumpulan ini telah pun mengetahui hal tersebut menerusi peminat tegar SM*SH yang mengambil berat terhadap perkembangan kumpulan yang dibarisi jejaka kacak dari seberang.
"Saya rasa mereka sudah tahu daripad peminat mereka sendiri. Setakat ini, kami perlu tengok dulu keadaan. Kalau kebenarannya amat besar, Amran Ismail perlu tarik balik lagu tersebut.
"Sekarang kami baru tahu lagu itu sudah dilancarkan. Jadi, kami perlu berbincang dengan pihak Indonesia. Apa pun keputusan, kami akan maklumkan kemudian. Tapi kami pasti, Amran akan dikenakan tindakan.
"Ini semua ada kaitan pasal copyright. Sekarang ini menjadi tanda tanya, adakah benar dia langsung tidak pernah mendengar lagu SM*SH," jelasnya.
Menyentuh mengenai terma mencipta lagu, pihaknya akan memberi kebenaran kepada sesiapa saja seandainya lagu asal dinyanyikan semula (cover version) atau pun lagu baru dicipta dengan adaptasi.
"Kami masih belum ada kesempatan untuk memaklumkan perkara ini kepada SM*SH. Kalau dikatakan mengenai ciplak, tiga tahun sebelum ini, sekiranya 8 bar melodi dalam lagu didapati sama ia dikira ciplak.
"Sekarang ini, mana-mana bahagian verse punya persamaan juga dikira ciplak. Sekali lagi, kami akan mengambil tindakan mengikut perkara yang dirujuk. Kalau salah, Amran tidak boleh mempromosikan lagu itu.
"Dia sudah dikategorikan merosakkan hasil karya sesebuah lagu. Dia kena bayar kerugian terhadap merosakkan lagu itu. Insya-Allah, minggu depan kami akan berbincang dan mengenal pasti jawapan untuk kes ini," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment