Hyundai Veloster Tampil Lebih Canggih





HYUNDAI-SIME Darby Motors (HSDM) telah melancarkan coupe sporty kompak terbarunya yang canggih, Hyundai Veloster dengan harga permulaan RM116,888.

“Veloster merupakan konsep yang benar-benar inovatif yang menggabungkan reka bentuk sporty dengan kepraktisan dan kemudahan.

“Ia menampilkan susun atur 1+2 pintu yang berfungsi dan reka bentuk trend yang berani dengan tahap aerodinamik yang tinggi berdasarkan konsep reka bentuk fluidic sculpture," jelas Pengarah Urusam HSDM, Lau Yit Mun.

Menurut Yit Mun, Veloster telah menerima sambutan yang menggalakkan dari seluruh dunia sejak dilancarkan dan HSDM menjangkakan sambutan yang sama di Malaysia.


Veloster telah mencatatkan jumlah jualan sebanyak 119,570 unit sejak dilancarkan pada tahun 2011 sehingga Oktober tahun ini. Veloster turut menerima berbagai-bagai anugerah dan pengiktirafan di Amerika Syarikat dan juga Kanada.

REKA BENTUK UNIK

Konsep di sebalik bahagian luaran Veloster menunjukkan seolah-olah ia diukir dengan pancaran cahaya. Reka bentuknya mencerminkan ciri-ciri penuh keberanian, keyakinan dan kelasakan. Garis-garis kenderaan tampil gagah dan dinamik.

Cermin depan yang melengkung dan curam diapit oleh tiang A dan B hitam yang tersendiri memberikan penampilan hebat seperti visor topi keledar motosikal.

Bahagian hadapan menampilkan gril depan heksagon tanda jenama Hyundai dengan juntaian depan yang pendek dan bampar tirus untuk memudahkan pergerakan di tempat letak kereta yang sempit, bonet satah berkembar dengan potongan simetri sporty (skup angin), lampu memandu berlekuk binaan dalam di bahagian bawah bampar dan spoiler aerodinamik di hujung bampar untuk mengurangkan rintangan angin oleh tayar depan.

Varian Premium memiliki bumbung matahari berpanorama yang luas manakala lampu LED Hyundai yang unik disatukan ke dalam kelompok lampu depan.

Profil Veloster menampilkan garisan fluidic sculpture, lengkung tayar yang gagah, pemegang pintu krom, pintu aerodinamik, cermin dan lampu depan serta belakang lelilit.


Veloster mempunyai 'koefisien seretan' (drag coefficient, cd) 0.32, mengurangkan rintangan angin dan meningkatkan lagi penjimatan minyak. Veloster dilengkapi dengan roda aloi 17 inci bagi Varian Transmisi Manual dan Auto dan roda aloi 18 inci untuk Varian Premium.

Rekaan belakang kereta yang dinamik memiliki hac kaca yang tersendiri, tip ekzos krom berkembar di tengah-tengah, dan panel bawah berwarna hitam yang menambah penampilan bahagian depan yang agresif.

Ia dipasang dengan lampu belakang LED ‘bersayap’ yang besar dan dipasang tinggi pada keluk di bahagian belakang untuk menambahkan lagi gaya sporty kereta.

Reflektor dipasang pada bahagian hujung bampar untuk ciri keselamatan tambahan. Lampu berhenti lekapan tinggi turut dipasang untuk keselamatan. Semua varian dilengkapi dengan spoiler belakang yang dipasang tinggi.

INTERIOR

Susunan dan kawalan tengah menyerupai tangki minyak motosikal sports. Butang hidup/mati enjin turut diletakkan di sini. Lubang udara diilhamkan oleh ekzos motosikal manakala konsol lantai kelihatan seperti tempat duduk motosikal.


Bayangan warna metalik memenuhi bahagian dalaman kereta. Ruang kereta adalah luas dan selesa mengikut ciri Eropah (kereta dengan jarak roda sepanjang 2,650mm dan lebar keseluruhan 1,790mm).

Kerusi jahitan kulit dengan kontur yang dalam dengan lapisan pintu dengan warna yang sepadan (varian premium).

Model 1.6L Auto dan Manual dilengkapi dengan kerusi bersalut fabrik dengan pilihan naik taraf kepada kerusi kulit pada hanya RM2,000. Dengan ruang but seluas 440 liter padu dan kerusi belakang boleh dilipat, hac Veloster adalah versatil dan boleh membawa basikal atau peralatan untuk berkhemah.

KONSEP PINTU 1+2

Veloster menggabungkan gaya coupe dengan fungsi kereta hatchback, dan turut menyertakan pintu tambahan sebelah penumpang.


Di antara coupe terdahulu yang menggunakan pintu akses berengsel di belakang yang lebih kecil,perlu membuka pintu depan sebelum pintu belakang boleh dibuka dan ini menyusahkan pemandu dan juga penumpang. Susunan ini juga sukar untuk dikendalikan di kawasan yang sempit atau dalam keadaan cuaca buruk.

Reka bentuk terbaru Hyundai menggunakan pintu berengsel belakang konvensional di sebelah penumpang untuk menyediakan akses yang selamat, mudah dan boleh digunakan pada bila-bila masa untuk memasuki ruang kerusi belakang yang luas. Pemegang pintu belakang tersembunyi untuk mengekalkan reka bentuk coupe yang asli.

PEMANDUAN LEBIH SELESA

Veloster dilengkapi dengan suspensi topang hadapan McPherson, pegas gegelung, penyerap hentakan gas dan penstabil hadapan 24 mm diameter.

Suspensi belakang terdiri daripada coupled torsion beam axle( (CTBA) alur V yang ringan, sistem yang pertama bagi Hyundai dengan bar penstabil berintegrasi untuk membolehkan dakapan lengan supaya lebih keras dan mengawal golekan tubuh.

Suspensi belakang turut menggunakan penyerap hentakan mono tiub untuk keselesaan dan pemanduan yang lebih selesa.

Sistem MDPS yang dipasang pada Veloster menjimatkan tenaga enjin dan tidak memerlukan penyelenggaraan di mana cecair stereng kuasa tidak perlu diisi semula.

Sistem ini mudah digunakan walaupun oleh pemandu yang kurang berpengalaman, terutama sekali di tempat letak kereta bawah tanah yang sempit serta situasi lain yang mencabar.

Veloster turut dilengkapi dengan pengesan undur dan paparan bantuan meletak kereta bagi membantu pemandu ketika mengundurkan kereta di tempat letak kereta.

Peralatan yang dipasang membolehkan pemandu melihat keadaan dengan jelas di belakang kereta. Varian Premium dilengkapi dengan kamera undur dan paparan grafik yang jelas.

TEKNOLOGI KESELAMATAN STANDARD TERMAJU

Veloster memiliki ciri keselamatan standard tahap tinggi untuk segmen kereta sport. Ia dilengkapi dengan sistem Vehicle Stability Management (VSM) (hanya untuk Varian 1.6 AT dan Premium sahaja) yang menguruskan ESC (Electronic Stability Control) dan MDPS secara optimum.

VSM berfungsi mengawal dua kesan. Pertama ialah apabila pemandu memecut atau membrek pada permukaan yang berbeza (licin pada satu bahagian dan kering di bahagian yang lain) dan kenderaan akan cuba bergerak ke satu arah.

VSM mengesan keadaan ini dan menghantar isyarat kepada MDPS untuk menggunakan bantuan stereng.

VSM akan melawan daya tarikan dan memberikan stereng arah berlawanan sebanyak lapan Newton meter secara automatik. VSM bertindak dengan cara yang sama ketika pertukaran laluan secara tiba-tiba atau semasa mengambil selekoh dengan laju.

Veloster turut dibekalkan dengan pakej sistem brek yang termaju. Ini termasuklah brek cakera empat roda dan Anti-Lock Braking System (ABS) termasuk Brake Assist, yang memberikan kuasa membrek maksimum apabila pemberhentian secara panik dikesan di mana sistem Electronic Brake-force Distribution (EBD) secara automatik melaraskan kuasa membrek kepada gandar depan dan belakang berdasarkan muatan kenderaan.

Kedua-dua varian transmisi auto dilengkapi dengan Hillstart Assist Control (HAC) untuk kawalan kereta yang lebih baik dan seterusnya tahap keselamatan yang lebih tinggi.

AKSESORI

Veloster dipasang dengan sistem audio enam speaker (termasuk tweeter) berintegrasi pemasangan tinggi rangkaian premium dan LCD skrin sentuh 7 inci untuk pengenalan, operasi dan kawalan visual yang lebih mudah.

Roda stereng turut dipasang dengan alat kawalan audio. Fungsi MP3 dan input tambahan binaan dalam memberi kemudahan kepada mereka dengan gaya hidup aktif.

Varian Premium dilengkapi dengan sistem yang dipertingkatkan dengan keupayaan Bluetooth binaan dalam, speaker tengah, sub woofer dan amplifier luaran.

Untuk menambahkan lagi keseronokan memandu, kereta ini turut memiliki aplikasi Blue Max yang sudah sedia dipasang dalam sistem hiburan.

Aplikasi ini menguji amalan memandu dan menggalakkan pemandu untuk memandu dengan cara yang mesra alam. Anda cuma perlu menekan butang mula Blue Max semasa memandu. Selepas 10 minit pemanduan, ia akan memaparkan skor yang menunjukkan tahap mesra alam pemanduan anda.

ENJIN MPI GAMMA 1.6-LITRE

Enjin Gamma 1.6-litre menghasilkan output puncak anggaran 132PS pada 6,300 rpm dan tork maksimum 158Nm pada 4,850 rpm. Ia menampilkan Dual Continuously Variable Valve Timing (D-CVVT) 16 injap dengan DOHC, kawalan pendikit elektronik, rantai pemasaan, aruhan boleh ubah dan lapisan anti geseran inovatif seperti lapisan CrN Physical Vapour Deposition (PVD) dan lapisan Diamond Like Carbon (DLC).

Enjin Gamma turut memiliki fungsi Mechanical Lash Adjuster (MLA) yang meningkatkan kecekapan penggunaan minyak dan kekuatan keseluruhan manakala jisim inersia yang lebih rendah membantu mengurangkan geseran dan bunyi bising injap.

Sistem panca rongga masuk/ekzos menambahbaikkan prestasi enjin melalui aplikasi reka bentuk struktur terkini yang mengurangkan masalah kronik dan meningkatkan ketahanan.

Ciri utama enjin Gamma

"Dual Continuously Variable Valve Timing "(D-CVVT)Aci sesondol dan tapak enjin hidraulik D-CVVT (pengawal aci sesondol masuk dan ekzos) memberikan kuasa, kecekapan dan pemerincian optimum.

Penggunaan CVVT pada kedua-dua aci sesondol mempunyai beberapa kelebihan jika dibandingkan dengan penggunaan aci sesondol masuk sahaja. Kelebihan termasuklah peningkatan prestasi (mengurangkan kehilangan pam), dan mengurangkan pelepasan hidrokarbon.

Rantai Pemasaan Membantu meningkatkan kelasakan enjin Gamma 1.6-litre. Kawalan Pendikit Elektronik Menggantikan kabel konvensional dan penghubung mekanikal pada model terdahulu dengan sistem elektronik yang lebih pantas. Sistem ini mengawal kemasukan udara dan tork enjin dengan lebih tepat, meningkatkan tahap pemanduan, respons dan ekonomi bahan api.

Lapisan Anti Geseran Inovatif "Diamond Like Coating" (DLC) ditambah pada tapet bagi mengurangkan geseran pada rangkaian injap.

Melalui rangkaian lengkap teknologi enjin, Hyundai telah menghasilkan enjin yang menawarkan:

PENJIMATAN MINYAK

Kebolehpercayaan yang tinggi disokong oleh jaminan selama 5-tahun / 300,000-km Veloster ditawarkan dengan transmisi enam kelajuan manual dan automatik.

Transmisi automatik enam kelajuan merupakan yang pertama di dunia direka untuk aplikasi enjin kereta penumpang bersaiz sederhana yang kecil.

Transmisi baharu ini terdiri daripada tiga gear planet, dua klac dan tiga brek untuk menjadikannya lebih kecil, lebih kompak dan lebih ringan berbanding transmisi auto yang terdapat di pasaran hari ini.

Ia mempunyai kawalan tekanan saluran boleh ubah yang peka kepada keadaan pemanduan untuk mengurangkan kehausan dan kejutan pertukaran dan pada masa yang sama menyumbang kepada ekonomi minyak yang lebih menjimatkan.

Ia turut diprogramkan untuk berubah kepada nisbah yang paling tinggi supaya pusingan enjin rendah bagi meningkatkan kecekapan minyak dan mengurangkan bunyi enjin.

Hyundai adalah antara tiga pengeluar kereta global yang mereka bentuk dan menghasilkan transmisi automatik enam kelajuan yang unik dengan sendiri.

Transmisi manual enam kelajuan turut dibangunkan untuk prestasi dan ekonomi minyak yang terbaik. Ia direka untuk memberikan ketahanan dan kebolehpercayaan jangka panjang dengan penyelenggaraan yang minimum.

HARGA DAN SPESIFIKASI

Veloster ditawarkan dalam tiga varian iaitu Veloster Gamma1.6L M/T (RM116,888 Harga Atas Jalan), 1.6L A/T (RM121,888 Harga Atas Jalan) dan 1.6L A/T Premium (RM132,888 Harga Atas Jalan).

Terdapat enam pilihan warna disediakan iaitu Green Apple, Sleek Silver, Sonic Silver Veloster Red, Vitamin C dan White Crystal. Veloster kini sedia untuk dipandu uji dan ditempah di semua bilik pameran Hyundai di seluruh negara.

HSDM menawarkan jaminan lanjutan 5-tahun atau 300,000km (yang mana dahulu) bagi semua kenderaan penumpang yang baharu. Jaminan lanjutan Hyundai adalah mengikut jaminan pembuatannya. Perkhidmatan bantuan 24 jam di jalan raya kini disediakan untuk semua kenderaan Hyundai yang baharu dan sedia ada.

No comments:

Post a Comment