Bermain Ski Di Kazakhstan



Shymbulak atau 'Chimbulak' iaitu sebuah resort ski yang terletak 25 km dari Almaty di Lembah Medeu, kira-kira 2,230 meter di atas paras laut.Suasana permandangan ketika menuju ke pucak Shymbulak, kelihatan rumah-rumah di kawasan tersebut ditutupi dengan salji tebal.


ASTANA (Kazakhstan): Sebaik sahaja juruterbang Air Astana membuat pengumuman pesawat Boeing 757 akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty di Almaty, Kazakhstan perasaan teruja penulis tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Melihat panorama indah, salji tebal meliputi gunung-ganang dan bukit-bukau yang memutih di sebalik tingkap kecil pesawat, sememangnya ia amat menakjubkan kepada penulis selepas melalui perjalanan selama lapan jam.

Lawatan ini adalah bersempena jemputan khas Kerajaan Republik Kazakhstan sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-21 negara itu yang diraikan setiap 16 Disember.

Semasa lawatan selama dua minggu di negeri bekas Kesatuan Soviet itu, yang merangkumi dua bandar raya utama iaitu Astana dan Almaty benar-benar menarik minat penulis terhadap negara yang sedang meningkat maju.

Cuaca Sejuk

Udara yang amat sejuk sehingga menusuk ke tulang sumsum dapat dirasai sebaik melangkah keluar dari ruang pesawat, walaupun lengkap berbaju tebal, bersarung tangan dan berkasut but.

Suhu di luar mencatatkan -53 darjah Celcius, jauh di bawah paras beku dan terdapat hujan salji.Lebih memeritkan lagi apabila udara yang amat sejuk itu menyukarkan pernafasan secara normal. Penulis terpaksa bernafas menerusi mulut namun rasa kesejukan itu hilang seketika, apabila penulis menyentuh salji di luar bangunan terminal.



Ia satu pengalaman pertama menyentuh salji yang seakan-akan putih seperti kapas malah sangat halus dan lembut.

Bagaimanapun pengembaraan tidak terhenti di situ. Penulis sebenarnya dalam persinggahan penerbangan ke Astana kerana tiada penerbangan terus dari Malaysia.

Penerbangan dari Almaty ke Astana mengambil masa satu jam dan 45 minit.

Setibanya penulis di Astana bersama kumpulan wartawan Malaysia yang lain, kehadiran kami disambut Setiausaha Ketiga Kedutaan Malaysia, Jamaaiah Che Ross dengan senyuman.

"Sejuk sangat di sini (Astana) kalau di Malaysia memang tidak dapat rasa cuaca macam ini, selamat datang ke Kazakhstan... lagipun bulan Disember memang sejuk," katanya kepada Bernama.

Ketika dalam perjalanan ke hotel yang jaraknya dari lapangan terbang kira-kira 30 kilometer, pemandangan bangunan yang indah dan unik berhampiran jalan raya menyambut kedatangan kami walaupun dilitupi sedikit kabus.

Astana Bandar Moden

Kazakhstan mempunyai penduduk seramai 17 juta orang terdiri daripada 140 suku etnik yang menganuti agama Islam, Kristian dan Yahudi.

Kira-kira 64 peratus penduduk terdiri daripada bangsa Rusia manakala selebihnya terdiri daripada Uzbekistan, Kyrgyzstan, Jerman, Ukraine, dan Korea.

Terletak di Asia Tengah, Kazakhstan dilingkungi sepenuhnya oleh daratan dengan keluasan lebih 2.7 juta kilometer persegi. Astana adalah bandar raya moden diilham kerajaan pimpinan negara itu, Presiden Nursultan Nazarbayev.

Pembinaan bandar moden yang terancang menjadi satu simbol kebanggaan negara malah mempamerkan Kazakhstan sebagai pilihan utama masyarakat antarabangsa dan dunia.

Hati penulis tertarik kepada seni bina di kebanyakan bangunan yang terdapat di Astana, yang unik dan mempunyai 'kelas' tersendiri, antaranya ialah Menara Baiterek.

Ia secara simboliknya berbentuk pokok poplar yang terdapat telur dan sarang burung samrud.

Menara setinggi 105 meter ini paling sesuai untuk melihat pemandangan dan lanskip bandar ini.

Uniknya menara ini ialah di bahagian paling atas terdapat satu plak emas berbentuk tapak tangan kanan Presiden pertama republik itu. Penulis turut dimaklumkan oleh jurucakap menara itu, Zeynep Shamurat , 30, bahawa para pengunjung berpeluang meletakkan tapak tangan mereka ke plak emas itu serta membuat hajat.

Selain menara, terdapat Istana Keamanan dan Harmoni yang mempunyai reka bentuk seperti piramid dengan ketinggian 62 meter.

Ia dibina sebagai tempat pertemuan bagi wakil-wakil agama dunia untuk berbincang atau bertukar pendapat mengenai sesuatu isu.

Masjid Nur Astana

Penulis turut berkesempatan menunaikan solat di Masjid Nur Astana, yang adalah masjid terbesar di Asia Tengah dan mampu memuatkan lebih 5,000 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid ini, adalah satu daripada 2,000 masjid yang terdapat di negara ini, juga dibuka setiap hari kepada mereka yang bukan beragama Islam kecuali pada hari Jumaat. Lebih 70 peratus penduduk Kazakhstan beragama Islam, yang majoritinya mengamalkan Mazhab Hanafi.

Bagaimanapun, penulis agak kecewa kerana tidak dapat menyaksikan sendiri kecantikan kubah keemasan akibat ditutupi dengan salji tebal pada hari itu.

Di masjid itu turut mengadakan kelas-kelas agama dan majlis perkahwinan.

Syurga Pencinta Ski Sebut sahaja Almaty, ibu negara Kazakhstan sehingga 1998, sudah pasti terbayang keindahan semula jadi gunung-ganang bersalji dan tasik.

Ia adalah bandaraya terbesar di Kazakhstan dan jauh berbeza daripada Astana. Ini kerana, Almaty lebih terkenal dengan destinasi pelancongan seperti Shymbulak atau 'Chimbulak' iaitu sebuah resort ski terletak 25 km dari Almaty di Lembah Medeu, kira-kira 2,230 meter di atas paras laut.

Untuk ke puncak, pengunjung perlu menaiki kereta kabel malah dapat melihat sendiri stadium sukan luncur ais terkemuka di dunia di sekitar kawasan itu.

Hasil maklumat yang diperoleh penulis, pengunjung boleh membawa peralatan sendiri atau menyewa dan membeli di kedai-kedai yang menjual peralatan serta aksesori ski dan papan luncur di atas kawasan pergunungan itu.Bagi Pengunjung yang ingin menyewa peralatan ski untuk dewasa 5,000 Teng (RM101.91) dan kanak-kanak 3,000 Teng (RM61.15).

Rata-rata pengunjung di sini menyatakan bahawa masa yang paling sesuai untuk bermain skin ialah dari November hingga Mei kerana suhu musim sejuk antara -5 hingga 10 darjah Celsius.

Sememangnya, melihat dan merasai sendiri panorama indah yang ditawarkan di negara Khazakstan ini adalah jauh berbeza daripada apa yang terhidang di 'Facebook' mahupun paparan televisyen.

Keindahan, keunikan senibina, keramahan dan layanan mesra penduduknya mampu mengikat hati sesiapa sahaja untuk berkunjung lagi ke sini. Seseorang mungkin tidak lagi perlu bercuti musim sejuk ke Eropah kerana Kazakhstan mempunyai semua yang mempesona dan dinantikan apabila bercuti!


No comments:

Post a Comment