Mat Yamin (kiri) dan Ibrahim (kanan) membaiki pukat mereka apabila aktiviti ke laut tidak dapat dilakukan. |
KOTA BHARU - Nelayan di perkampungan Pantai Mek Mas melahirkan rasa bersyukur apabila ribut tropika Sonamu berserta angin kencang yang diramal melanda perairan Pantai Timur Semenanjung tidak menjadi kenyataan.
Tinjauan ke beberapa kawasan perkampungan nelayan mendapati kebanyakan mereka tidak turun ke laut dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
Nelayan laut dalam, Ibrahim Ismail, 55, berkata, semenjak musim tengkujuh sehingga sekarang dia masih tidak berani ke laut ekoran angin kencang dan laut bergelora.
“Demi keselamatan pakcik ambil keputusan tinggal di rumah dan masa terluang ini digunakan untuk membaiki pukat.
"Lagipun cuaca buruk adalah sesuatu yang biasa bagi kami di sini yang tinggal di tepi pantai semenjak kecil lagi,” katanya.
Menurutnya, selain takut kepada keadaan cuaca dia dan nelayan lain juga risau tentang keadaan kuala di sini, yang semakin cetek sehingga menyukarkan pergerakan bot nelayan.
Dia berkata, jika cuaca buruk keadaan kuala tersebut akan menjadi semakin teruk dan berbahaya kepada nelayan. Nelayan pesisir pantai, Mat Yamin Abdul Wahab, 30, berkata, 15 tahun menjadi nelayan ini kali pertama dia mendengar tentang ribut tropika Sonamu.
“Sememangnya saya merasa takut dengan ramalan Sonamu kerana pernah mengalami peristiwa banjir besar beberapa puluh tahun dahulu.
“Tidur malam pun tidak lena dan kami telah bersiap sedia namun syukur bila tengok keadaan hari ini mula tenang. Laporan televisyen pun mengatakan ribut sudah semakin beredar,” katanya.
Menurutnya, cuaca yang tidak menentu itu menyebabkan sumber pendapatan nelayan sepertinya merosot namun masih bersyukur kerana mendapat bantuan sara hidup RM200 sebulan.
No comments:
Post a Comment