Passat CKD tidak kompromi kualiti

Passat CKD


Apabila memperkatakan tentang produk Volkswagen (VW), satu perkara yang menjadi batu penghalang untuk anda menikmati teknologi Jerman itu iaitu ‘Harga’!. Faktor cukai menyumbang kepada tawaran harga sedemikian.

Untuk tawaran harga yang lebih kompetitif, caranya adalah melalui pemasangan tempatan (CKD). Program CKD sedikit sebanyak membantu dalam mengurangkan harga kenderaan.

Justeru itu, hasil rundingan selama dua tahun, kata sepakat telah dicapai di mana model Passat menjadi kereta sulung Volkswagen dipasang di kilang milik DRB-Hicom di Pekan, Pahang bermula Mac lalu.

Menerusi produksi tempatan tersebut, anda kini boleh memandu Passat pada harga di bawah RM180k. Buat masa ini Volkswagen Group Malaysia masih menjual model Passat CKD dan pemasangan luar negara (CBU) di pasaran.

Walaupun model perintis hasil pakatan kerjasama konglomerat automotif Malaysia itu dijual lebih murah, namun dari segi kualiti pihak VW tidak berkompromi di mana ia tetap mengikut dan menepati spesifikasi pengeluaran antarabangsa VW.

Jika pengguna bijak tentunya anda akan memilih model CKD berbanding CBU dengan perbezaan harga sekitar RM14,000. Bahkan kualiti juga dijamin setara dengan model Passat yang dibawa dari Jerman.

Pada harga RM171,967.20 (tanpa insurans), setiap nilai wang yang dilaburkan pasti akan memuaskan hati anda dari segi kualiti mahu pun prestasi yang ditawarkan.

Walaupun Passat ditawarkan dengan enjin bersesaran 1.8 liter, tetapi menerusi aplikasi suntikan turbo membantu menghasilkan kuasa 160ps dan tork 250Nm. Ketika memecut, kuasa yang diberikan cukup ‘umph’ dan boleh diramal.
Lebuh raya adalah lokasi terbaik untuk anda menguji jentera segmen-D itu.

Bagi saya untuk mengekalkan kelajuan maksimum di lebuh raya sedikit sukar kerana Passat begitu berkuasa. Walaupun menekan terus pedal minyak ke lantai, Passat masih memberikan kecekapan bahan api pada tahap yang memuaskan. Ekonomi bahan api Passat berada pada senarai teratas yang diingini.

Berdasarkan kepada hasil pemanduan, pada kelajuan purata sekitar 160 kilometer sejam (km/j), saya merekodkan penggunaan bahan api sekitar 10.1 liter setiap 100km (l/km) dan pada kelajuan antara 110km/j hingga 120km/j Passat memberikan nilai 8.1 (l/km). Bukan sahaja berkuasa ia turut menjimatkan bahan api, dua faktor yang wajib berada dalam senarai teratas pembeli kereta.

Dari segi pemanduan, tolak ketepi perkataan ‘menarik’ sebagai kata sifat untuk menggambarkan pengalaman memandu, kata-kata seperti tenang, selesa dan berkuasa adalah antara perkataan yang dapat mencerminkan personaliti Passat.

Malah, Passat turut menawarkan pemanduan cukup selesa di tahap teratas dengan suspensi ditetapkan pada tahap keselesaan muktamad. Ketika melalui jalan yang tidak rata, ia menyerap keadaan jalan dengan baik. Malah body roll juga begitu sedikit dan boleh dikatakan saya tidak merasai langsung body roll ketika melalui selekoh mahu pun menukar laluan.

Passat bukan sekadar menghubungkan pemandunya tetapi ia  membawa orang-orang di sekeliling dengan selesa. Ia lebih daripada sporty dan dinamik dan secara jelas Passat adalah untuk mereka yang inginkan keselesaan.

No comments:

Post a Comment