Dato` Siti Nurhaliza Akui Sukar Jadi Suri Rumah



KUALA LUMPUR, 14 FEB 2013: Kecelakaan jalanraya yang melibatkan ahli perniagaan Dato` Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Dato`K telah menuntut isterinya iaitu penyanyi tersohor, Dato` Siti Nurhaliza untuk memberi sepenuh perhatian terhadap suami yang tercinta itu.

Walaupun Dato` K kini sudah pulang dan berehat di rumah, namun Dato' Siti sanggup mengenepikan aktiviti nyanyiannya untuk sementara waktu bagi memberi keutamaan terhadap lelaki yang telah sekian lama menjadi pasangan hidupnya itu.

Buat masa ini, Dato` K masih lagi menerima rawatan sehingga penghujung Mac ini dan Dato' Siti dijangka kembali aktif menyanyi bermula April ini.

Perkara ini dikongsi Dato' Siti ketika menjawab pertanyaan para wartawan yang ingin mendapatkan gambaran lanjut tentang kesihatan suami penyanyi tersebut. Penyanyi yang baru menjengah usia 34 tahun pada 11 Januari lalu telah ditemui pada sidang media : Memori Indah Bersama Dato`Siti Nurhaliza" di Hotel Royale Chulan, semalam.

"Bila bercuti lama, Siti dapat menjalankan tanggungjawab sebagai surirumah seperti memasak dan semestinya menjaga suami, itu bukan satu perkara mudah. Siti bersyukur dan berbesar hati kerana dapat memberikan fokus kepada suami yang sakit dan memang perlu untuk Siti berada bersamanya untuk memberi semangat dan sokongan.

"Alhamdulillah, kecederaan Dato` K tidak terlalu serius dan kini dia boleh berjalan seperti biasa. Dia hanya perlu mengikuti rawatan fisioterapi terutama sekali di bahagian tangan yang belum benar-benar pulih.

"Insya Allah pada penghujung Mac, kesihatan Dato` K dijangka akan beransur pulih setelah menjalani rawatan tersebut dan kerana itu Siti membuat keputusan untuk kembali bekerja bermula April nanti,"ujar Dato' Siti Nurhaliza kepada sidang media sempena Minggu Setiausaha tersebut.

Lebih kurang 3 bulan pelantun lagu Bukan Cinta Biasa ini berehat demi tanggungjawabnya sebagai isteri. Istimewanya Memori Indah Bersama Dato`Siti Nurhaliza sempena Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan pada 11 April nanti merupakan pembuka tirai persembahan pertama Dato' Siti untuk tahun ini dan satu-satunya undangan yang dijayakannya untuk Minggu Setiausaha.

"Setelah lama berehat, Siti memerlukan perancangan yang rapi dan latihan bagi menjadikan persembahan yang juga kemunculan semula Siti berjalan dengan lancar. Seperti biasa, Siti suka tampil dengan pelbagai konsep namun bagi persembahan di Hotel Royale Chulan ini,Siti belum memikirkan konsep untuknya. Cuma Siti akan cuba memberi variasi seperti gabungan lagu-lagu Siti dan lagu-lagu popular lain.

"Yang bakal menambahkan lagi keistimewaan majlis ini, majikan dan setiausaha terpilih akan mendapat hadiah berupa barangan milik peribadi Siti...,"cerita penyanyi tersohor negara tersebut mengenai persembahan pertamanya pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment