Sertai Tabligh, Pierre Andre Tunang Dengan Model





KUALA LUMPUR, 14 FEB 2013: Setelah dikejutkan dengan berita pelakon Fizz Fairuz yang bertunang tetapi bukan dengan pelakon Almy Nadia, industri hiburan tempatan menerima berita gembira apabila Pierre Andre mengumumkan yang dia sudah pun bertunang dengan seorang model tempatan.


Malah, pelakon dan pengarah muda ini sedikit pun tidak berniat untuk menyembunyikan berita pertunangan itu yang telah diadakan pada Sabtu lalu dengan hanya dihadiri ahli keluarganya sahaja.

Difahamkan, anak kepada pelakon Khatijah Tan ini telah mengambil keputusan bertunang dengan gadis pilihannya bernama Siti Nurhidayah Hashim, 25, selepas menyulami cinta selama lapan bulan.

Tunang Pierre berasal dari Johor Bahru merupakan seorang model sambilan dan 9 Februari lalu adalah hari pertunangan mereka.

"Saya kenal dengan dia sebelum saya sertai tabligh lagi. Selepas kenal lebih dekat, saya mengambil keputusan untuk segera berkahwin dengannya.

"Saya merancang untuk bernikah pada September nanti. Bagaimanapun, sebolehnya saya ingin mempercepatkan tarikh nikah pada Jun ini," ujarnya.

Setelah berhijrah dengan imej berjambang dan berjubah, Piere merasakan dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami selepas mendalami ilmu agama.

"Hijrah saya bukan ke arah ekstrem sehingga menyalahkan orang lain. Sebaliknya, saya masih melalui kehidupan seperti biasa dan terus aktif dalam bidang seni.

"Fokus saya kini lebih terarah pada bidang pengarahan dan penulisan skrip. Saya akan lebih memilih terhadap tawaran berlakon.

"Jika boleh, saya akan mengelakkan untuk berlakon babak pegang tangan mahupun atas katil. Bersesuaian dengan imej saya yang terbaru ini, saya mahu terbabit dengan program Islamik," katanya.

Dalam pada itu, Pierre bakal muncul sebagai pengacara dalam satu program realiti bersama Astro Oasis.

"Saya mahu bimbing isteri saya ke arah kehidupan mengikut tuntutan agama. Sehingga kini, masih ada peminat yang terkejut melihat perubahan saya.

"Apa yang saya lakukan bukanlah perubahan mendadak. Saya bersyukur kerana terus mendapat sokongan peminat.

"Saya mengikuti kumpulan tabligh tiga kali sebulan dan pada masa yang lain, saya pakai seluar jeans dan baju T," jelasnya.

No comments:

Post a Comment